Because living is fighting, we are your friend, always there all the time.

Saringan Awal Kanser Kolon

14 May 2010


BEGINILAH keadaan kolon yang diserang kanser.

RAMAI yang tidak menyedari bahawa kanser kolon merupakan kanser utama yang menyerang kaum lelaki dan ketiga paling banyak melibatkan wanita di negara ini. Lebih memeranjatkan, komuniti Cina mencatatkan jumlah kes yang tertinggi. Walaupun punca sebenar kanser kolon masih kabur, namun dengan pengesanan awal peluang pesakit untuk sembuh adalah tinggi. Sungguhpun begitu, kesedaran terhadap risiko dan pencegahan awal terhadap kanser kolon masih di tahap kritikal. Kanser kolon atau kanser usus ialah kanser yang menyerang kolon dan rektum iaitu bahagian usus besar yang membantu mencernakan makanan dan membuang bahan-bahan kumuh.

Dianggarkan 1.2 juta kes baru kanser kolon dicatatkan di seluruh dunia pada tahun 2007 dengan anggaran 63,000 yang menemui ajal akibat penyakit itu setiap tahun.

Presiden Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, EMPOWERED, Dr. Christina Ng yang juga merupakan Pakar Runding Onkologi memberitahu, punca sebenar kanser kolon masih belum diketahui, tetapi banyak faktor yang menyumbangnya dalam jangka masa panjang.

Antaranya ialah faktor umur, sejarah keluarga, diet, penggunaan tembakau, gaya hidup dan penyakit usus.

"Seseorang itu berisiko mendapat kanser kolon seiring dengan pertambahan usia. Lebih 90 peratus kes yang dicatatkan di Malaysia melibatkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

"Sejarah keluarga turut menjadi faktor seseorang itu berisiko tinggi mendapat kanser kolon. Pengambilan lemak yang tinggi dan kurang mengambil makanan berserat boleh menyebabkan perkembangan kepada penyakit ini," katanya. Tambahnya, tabiat merokok juga berisiko kerana ia akan menyebabkan pembentukan polip. Penyakit itu juga menyerang mereka yang obes dan tidak aktif secara fizikal. Terdapat empat peringkat kanser kolon. Peringkat pertama, kanser berada di dalam lapisan kolon atau rektum dan mula merebak ke dinding kolon pada peringkat kedua.


TABIAT merokok juga berisiko kerana ia akan menyebabkan pembentukan polip

Pencegahan awal

Kanser itu dikategorikan pada tahap ketiga apabila ia mula merebak di kawasan berhampiran nodus limfa dan akhirnya ke beberapa bahagian organ badan seperti hati dan paru-paru. Sehubungan itu, pencegahan awal sangat penting sebelum seseorang itu menunjukkan sebarang simptom yang mengaitkannya dengan kanser kolon. "Saringan awal sangat penting dan golongan yang berumur 50 tahun ke atas disarankan melakukan ujian bagi mencegahnya di peringkat awal. "Walaupun kita tidak mengetahui penyebab kanser kolon, sekurang-kurangnya beberapa panduan dapat diikuti bagi mengurangkan risiko dengan mengamalkan gaya hidup sihat, menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat," ujarnya. Prihatin dengan tahap kesedaran yang rendah di kalangan masyarakat, Persatuan Advokasi Kanser Malaysia mengadakan Projek Saringan Barah Usus Besar kepada golongan yang kurang berkemampuan bermula April lalu dan Mei ini. Jelasnya, melalui projek saringan itu, kanser kolon dapat dikesan pada peringkat awal seperti yang dijalankan di Australia dan United Kingdom. Ia berjaya mengurangkan kadar kematian penghidap kanser tersebut.


PEMBENTUKAN polip boleh merebak ke bahagian organ lain.

"Projek ini bertumpu kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin di komuniti Sentul. Sukarelawan dengan bantuan pemimpin setempat bekerjasama bagi memberikan pendedahan mengenai kanser kolon melalui risalah dan ceramah-ceramah.

"Bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasaran, maklumat dan ceramah diberikan dalam tiga bahasa iaitu dalam bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil. Mereka juga akan diajar bagaimana menggunakan kit ujian najis yang diedarkan ketika bengkel dijalankan," katanya.

Pendaftaran para peserta dijalankan secara berperingkat pada April lalu di lapan buah flat di Sentul membabitkan 70 orang untuk setiap blok.

Kesemua sampel akan dihantar ke HOPE Worldwide Kuala Lumpur untuk pemeriksaan. Jika terdapat sampel yang positif, pesakit yang terlibat akan dirujuk kepada pihak hospital untuk ujian pengesahan.

Bagi mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai Projek Saringan Barah Usus Besar, layari laman web www.empowered.org.my atau hubungi talian 03-6142 4001.