NOORMAH...tahap kesedaran masih rendah
KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan sederhana dan rendah terutama yang tingga! di projek perumahan rakyat (PPR) di ibu kota disaran mengambil bahagian dalam kempen kesihatan sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noormah Abdul Rauf berkata, perkara itu perlu kerana tahap kesedaran masyarakat dalam kelompok berkenaan masih rendah berbanding mereka yang berada pada kelas atasan. "Ramai yang lupa menjaga kesihatan diri kerana sibuk mencari rezeki dan tidak mengamalkan pemakanan seimbang.
"Banyak peruntukan digunakan untuk mengadakan kempen kesihatan yang mensasarkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah ini, tetapi maklum balas menunjukkan masih ramai tidak mahu turut serta. Itu menyebabkan maklumat yang ingin disalurkan tidak sampai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kesihatan Untuk Keluarga Bahagia anjuran Empowered The Cancer Advocacy Society Of Malaysia (Empowered) di PPR Sri Pantai di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden Empowered Dr Christina Ng dan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk PPR Sri Pantai, Adlan Lobe.
Noormah berkata, pihaknya akan terus mengenalpasti masalah yang wujud selain membantu rakyat dengan menyalurkan peruntukan menerusi Dasar Bantuan Kebajikan serta Skim Sosioekonomi dan Bantuan.
Menurutnya, setakat ini 1,761 penduduk di sekitar Lembah Pantai dibantu menerusi skim sedia ada bertujuan meringankan beban yang ditanggung dengan nilai peruntukan sebanyak RM799,160.
"Daripada jumlah itu, seramai 67 orang perseorangan yang menghidap penyakit melarat seperti kanser dibantu dengan nilai bantuan sebanyak RM20,100. "Selain itu, JKM juga menghulurkan bantuan kepada 234 ibu tunggal di sekitar kawasan terbabit dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM48,600 katanya.
Katanya, pihaknya menyeru orang ramai supaya merujuk kepada pejabat JKM terdekat atau pengerusi jawatankuasa penduduk di kawasan masingmasing sekiranya mengalami masalah untuk mendapatkan sumbangan.