KANSER payudara merupakan penyakit utama yang menyebabkan kematian di kalangan wanita.Hingga ke hari ini, barah payudara masih menjadi pembunuh utama wanita di dunia. Pun begitu, dengan kemajuan teknologi, penyakit itu boleh dirawat sekiranya pesakit datang mendapatkan rawatan di peringkat lebih awal. Malangnya, pelbagai kempen dan usaha telah dijalankan untuk memastikan tahap kesedaran mengenai penyakit ini, namun realitinya tidak ramai yang tampil untuk menjalani rawatan.
Dalam usaha memenuhi misi untuk menyelamatkan nyawa, mencegah kanser dan menghapuskan penderitaan di kalangan mereka yang kurang mampu di Malaysia, EMPOWERED (The Cancer Advocacy Society of Malaysia), dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, telah menganjurkan program kesedaran kanser di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Kira-kira 400 penduduk yang berpendapatan rendah di sekitar PPR berkenaan mendapat manfaat dalam program yang dianjurkan. Program yang dijayakan dengan kerjasama penuh masyarakat setempat itu memberikan akses kepada maklumat, pemeriksaan dan sokongan bagi kanser menerusi ceramah-ceramah pendidikan dan bengkel-bengkel interaktif.
Hadir merasmikan majlis ialah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Wilayah Persekutuan, Noormah Datuk Abdul Rauf. Sementara itu, pengasas dan Presiden EMPOWERED, Dr. Christina Ng memberitahu, selain kesedaran mengenai kanser, bengkel Empowered to Fight Cancer juga bertujuan untuk merapatkan hubungan dan menyatukan ahli keluarga. ''Unit keluarga adalah sistem sokongan yang paling kuat dan ini amat penting terutama sekali apabila seseorang anggota keluarga melalui waktu yang mencabar, seperti ketika dijangkiti penyakit yang serius seperti kanser," ujarnya ketika melancarkan program baru-baru ini. Tegas beliau, kanser adalah penyakit kedua paling merbahaya di Malaysia selepas penyakit jantung. Pada tahun 2006, kanser payudara adalah kanser yang paling lazim bagi golongan wanita tanpa mengira kaum, Kanser paru-paru pula adalah yang kedua paling lazim bagi golongan lelaki.
Sehubungan itu, Empowered to Fight Cancer, bertumpu kepada usaha meningkatkan kesedaran mengenai kanser paru-paru dan kanser payudara iaitu dua jenis kanser yang mempunyai kadar kematian yang tinggi. Pada program tersebut, penduduk diberi peluang untuk pemeriksaan secara percuma dan juga mendengar ceramah kesihatan.
Malah, paling teruja, satu sesi berkongsi pengalaman juga diadakan bersama bekas pesakit kanser payudara yang mengulas tentang kehidupan mereka ketika melawan kanser, yang membuktikan bahawa hidup yang bermakna masih boleh dicapai walaupun setelah disahkan menghidap penyakit itu.
Sementara itu, di sebelah petang pula, menyaksikan dua bengkel yang dijalankan serentak tentang gaya hidup sihat dan kanser payudara di mana peserta diberikan pilihan untuk menghadiri salah satu daripadanya. Dalam sesi Pemakanan Sihat & Kekal Aktif, demonstrasi memasak secara sihat dan latihan-latihan fizikal turut diadakan untuk peserta. Mereka juga turut diberi peluang untuk merujuk kepada pakar fisioterapi tentang indeks jisim tubuh (BMI) yang ideal dan senaman yang sesuai untuk dilakukan.
Bagi kaum wanita, terdapat Bengkel Kanser Payudara yang dipenuhi dengan cara-cara menjalankan ujian payudara sendiri, pemeriksaan klinikal payudara oleh penasihat dan juga pameran serta sesi soal jawab yang membolehkan para peserta berinteraksi dengan jururawat penjagaan payudara dan bekas pesakit kanser.
DR. Christina Ng (gambar) yang juga seorang Pakar Onkologi di sebuah klinik swasta di ibu kota. Ramai wanita yang hanya dikesan menghidap kanser payudara pada peringkat lewat dan kritikan kerana mereka bimbang akan dipinggirkan oleh orang tersayang atau kerana tidak tahu tentang prosedur pengesanan. ' Tegas beliau lagi, bengkel ini telah direka khusus untuk menghilangkan rasa takut kepada penyakit itu dan menggalakkan pengesanan awal serta mencegah kanser payudara.
Sebagai tambahan, satu bengkel khas Jauhi Tembakau yang dirumus khusus untuk kanak-kanak telah diadakan secara berasingan dari golongan dewasa. Oleh kerana merokok adalah punca utama kebanyakkan jenis kanser dan ia kini berada pada kadar yang membimbangkan di kalangan remaja, bengkel kanak-kanak itu bertumpu kepada bahaya penggunaan tembakau untuk mendidik mereka tentang kesan dan akibat penggunaan tembakau. "Kanser bukanlah hukuman mati, tetapi terdapat langkah pencegahan yang boleh diambil, serta rawatan dan program sokongan untuk pesakit kanser. Kawal hidup anda dengan melakukan perubahan pada gaya hidup dengan menjalani pemeriksaan awal, ujian pengesanan dan mencegah penyakit merbahaya ini dari merebak. Kawal hidup anda sendiri kerana hidup ini adalah satu penuangan," jelas Dr. Ng.