Harian Metro
Oleh Hanum Rajak
12 November, 2011 --
PETALING JAYA: Barah usus besar atau kolorektal adalah barah kedua paling kerap menjangkiti penduduk Malaysia setiap tahun selepas barah payudara.
Rakyat Malaysia berusia 50 tahun ke atas lebih terdedah kepada risiko menghidap barah yang mengakibatkan kematian ini dan cenderung menjangkiti kaum lelaki berbanding wanita.
Menurut Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia, kira-kira 2,900 rakyat Malaysia dijangkiti barah usus besar setiap tahun terutamanya lelaki Cina yang kebanyakannya berusia lebih daripada 50 tahun namun tidak menolak kemungkinan untuk berlaku kepada sesiapa saja.
Antara faktor yang menyumbang kepada barah usus besar adalah umur, polip atau ketumbuhan bukan kanser dalam lapisan usus besar, genetik, diet, merokok, gaya hidup yang kurang aktif dan penyakit radang usus.
Sehubungan itu, bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini, EMPOWERED, Persatuan Advokasi Kanser Malaysia melancarkan Projek Komuniti Saringan Barah Usus Besar, di sini, baru-baru ini.
Projek ini bakal membabitkan 20,000 penduduk dari tiga komuniti di kawasan Selayang dan Gombak iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri, PPR Taman Wahyu dan PPR Taman Prima Selayang.
Melalui projek ini, sebuah bengkel pendidikan dan aktiviti saringan bakal dijalankan di tempat tinggal penduduk yang telah dikenal pasti.
Golongan berusia 50 tahun ke atas ditawarkan peluang untuk menyertai program saringan barah usus besar dengan menggunakan Fecal Immunochemical Test (FIT) untuk mengesan sama ada mereka mungkin mengalami barah usus besar walaupun gejala tidak muncul lagi.
Pakar Konsultan Perubatan Onkologi merangkap Pengasas EMPOWERED, Dr Christina Ng berkata, mereka mahu membantu komuniti supaya menghargai kesihatan, di samping berkongsi pengetahuan berkenaan kepentingan pengesanan awal kemungkinan barah usus besar.
“Bengkel yang bakal berlangsung pada 20 November ini di Dewan Komuniti PPR Taman Wahyu akan mendidik penduduk mengenai kepentingan gaya hidup sihat, tabiat pemakanan seimbang dan saringan barah usus besar selain diajar cara menggunakan FIT kit yang digunakan untuk mengesan darah tersembunyi dalam najis,” katanya.