Utusan Malaysia
15 November, 2011
Projek komuniti saringan barah usus KANSER kolon adalah penyakit utama yang menyerang kaum Adam dan boleh menyebabkan kematian.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 610,000 lelaki dan wanita meninggal dunia akibat kanser kolon pada tahun 2008.
Sementara itu, menurut Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia, kanser ini juga adalah kanser kedua paling biasa menyerang melibatkan kira-kira 2,900 rakyat Malaysia setiap tahun, terutamanya kaum Cina.
Biarpun ia tidak boleh dicegah, namun jika dikesan lebih awal dan mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin, bekas pesakit kanser mampu untuk menjalani kehidupan yang normal dan aktif.
Dalam usaha memenuhi misi untuk menyelamatkan nyawa, mencegah kanser dan menghapuskan penderitaan di kalangan mereka yang kurang mampu, Persatuan Advokasi Kanser Malaysia (EMPOWERED) akan menganjurkan Projek Komuniti Saringan Barah Usus Besjar 2011 di kawasan Selayang dan Gombak, Selangor.
Pada program tersebut, penduduk diberi peluang untuk menjalani pemeriksaan secara percuma dan mendengar ceramah kesihatan.
Program yang akan diadakan pada 20 November ini bertempat di dewan Komuniti Projek Perumahan Rakyat Taman Wahyu, Gombak, Selangor, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kanser usus besar kepada komuniti yang kurang berkemampuan.
Presiden dan Pengasas EMPOWERED, Dr. Christina Ng memberitahu, melalui bengkel kesihatan ini, orang ramai dapat mengetahui secara terperinci berkaitan kanser usus.
"Ia juga merangkumi sebuah bengkel pendidikan yang bertujuan memberi pendedahan dan bagaimana untuk mengatasi sekiranya didiagnosis sebagai pesakit kanser usus," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Projek Komuniti Saringan Barah Usus Besar, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Malah lebih utama ia bertindak untuk mengesan kanser usus di kalangan lelaki yang berusia 50 ke atas. Katanya, dalam bengkel tersebut, penduduk di perumahan berkenaan yang berusia 50 tahun ke atas berpeluang untuk membuat saringan barah usus menggunakan kaedah Fecal Immunochemical Test (FIT).
Katanya lagi, penduduk juga akan diberikan kit FIT.
Tambahnya lagi, melalui saringan tersebut, ia mampu mengesan darah yang tersembunyi di dalam najis.
Malah, Kit FIT yang akan digunakan itu mempunyai kadar pengesanan yang lebih baik untuk mengesan penyakit berbahaya berbanding menggunakan ujian darah najis.
Katanya lagi, bengkel tersebut bakal disertai 200 sukarelawan yang bekerjasama menjayakan program tersebut