Because living is fighting, we are your friend, always there all the time.

2015 Colorectal Cancer Awareness Day & Launch Event

PESAKIT KANSER USUS BESAR EMPOWERED SERTAI PERJUANGAN UNTUK MENGUBATI KANSER

EMPOWERED - Persatuan Advokasi Kanser Malaysia melancarkan Kempen Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Usus Besar yang ke-5 di PPR Hiliran Ampang, sebuah komuniti besar masyarakat miskin bandar di Kuala Lumpur, yang telah dipilih untuk menjadi benefisiari Persatuan pada projek mega tetapi mesra masyarakat pada tahun ini. Projek ini bertujuan untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa daripada Kanser Usus Besar. Kanser Usus Besar adalah kanser yang paling kerap dihidapi di kalangan lelaki, dan kanser kedua yang paling kerap di kalangan wanita di Malaysia. Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa saringan untuk penyakit ini, diikuti dengan kaedah perubatan yang sesuai boleh mengurangkan morbiditi berkaitan penyakit dan kematian.

Kempen Kanser Usus Besar dilancarkan secara rasmi pada 19 April 2015 setelah memakan masa selama berbulan untuk proses persiapan. Perjumpaan pada lewat malam bersama dengan pemimpin akar umbi, bengkel latihan sukarelawan, beberapa sesi proses pengetukan pintu bagi mendidik penduduk tentang pentingnya saringan Kanser Usus Besar , adalah diantara beberapa pra-aktiviti bagi memastikan program menyelamatkan nyawa oleh Persatuan ini sampai kepada semua penduduk yang berisiko tinggi di PPR Hiliran Ampang.

EMPOWERED berbesar hati untuk menerima sokongan yang berterusan daripada Kementerian Kesihatan. Dirasmikan oleh Dr. Chong Chee Keong, Pengarah Kawalan Penyakit, beliau berkata, “Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Usus Besar oleh EMPOWERED adalah selari dengan misi Kementerian Kesihatan yang ingin menggariskan keperluan komuniti supaya potensi kesihatan meraka dapat dicapai, menghargai kesihatan yang baik sebagai satu aset serta mengambil langkah yang positif untuk meningkatkan taraf kualiti kesihatan dan mengekalkan status kesihatan yang baik”. Beliau turut menambah Kementerian sememangnya sentiasa ingin bekerjasama dengan Persatuan seperti EMPOWERED bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih sihat.

Program Kesedaran mengenai kanser yang boleh membawa maut ini, akan diadakan sejurus selepas Majlis Pelancaran Kanser Usus Besar EMPOWERED 2015, di mana penduduk yang berisiko tinggi di PPR Hiliran Ampang akan dididik mengenai fakta kanser usus besar serta kadar penyembuhan yang dapat dicapai jika melalui pengesanan dan rawatan awal. Tiga daripada benefisiari Persatuan dan Pesakit Kanser Usus Besar EMPOWERED akan hadir pada hari tersebut bagi memberikan sokongan penuh terhadap pengesanan awal melalui pemeriksaan, dengan berkongsi pengalaman kanser mereka sendiri serta cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh meraka dan orang tersayang.

EMPOWERED bertekad untuk memperincikan pelan tindakan program yang bertujuan untuk memastikan keperluan kesihatan sebenar bagi masyarakat Malaysia yang kurang berkemampuan dapat dicapai. “Apabila disahkan menghidap kanser, individu itu tiba-tiba berhadapan dengan pelbagai kebimbangan dan ketidaktentuan tentang masa depan, lebih-lebih lagi jika individu yang terjejas adalah pencari nafkah keluarga. Kami perlu menangani ketegangan emosi mereka, dan membantu benefisiari kami dengan menunjukkan saluran yang betul bagi melalui proses pengubatan yang optimum,” kata Dr Christina Ng, Pengasas dan Presiden EMPOWERED yang merupakan Pakar Onkologi Perubatan. Beliau juga menambah, "Kami sangat terhutang budi dengan sumbangan orang ramai yang membolehkan Persatuan memastikan semua kos perubatan benifisiari sepanjang proses perubatan kanser mereka adalah ditanggung sepenuhnya.”

“Saya mengetahui tentang kewujudan projek ini melalui kain rentang yang dipasang di tepi bangunan rumah saya. Saya berasa takut untuk melalui proses saringan namun tetap memberanikan diri. Kemudian saya mendapati bahawa proses tersebut adalah tidak menyakitkan langsung. Sukarelawan EMPOWERED sangat membantu dalam mengajar saya bagaimana untuk menggunakan FIT (Faecal Immunohistochemical Test) KIT,” kata Pn. Amna binti A. Hamid, benefisiari Kempen Saringan Kanser Usus Besar EMPOWERED tahun 2014. “Saya telah mengalami cirit birit yang berterusan selama setahun namun saya menganggap itu adalah satu perkara biasa kerana mungkin saya mempunyai perut yang lemah atau makan benda yang salah. Hanya melalui saringan EMPOWERED saya mengetahui rupanya saya disahkan menghidapi kanser usus besar.” Pn. Amna semasa berkongsi testimoni beliau bersama penduduk Hiliran Ampang.

En. Abdul Wahab bin Omar pula mendedahkan bagaimana emosinya bercampur-baur semasa beliau menghadapi penyakit kanser usus besar di peringkat awal. Beliau juga merupakan benefisiari Kempen Kanser Usus Besar EMPOWERED tahun 2014. Semasa sesi testimoni beliau bersama penduduk PPR Hiliran Ampang , beliau berkongsi “Perasaan saya diselubungi rasa takut setelah saya disahkan menghadapi Kanser Usus Besar. Saya berasa keliru sama ada mahu meneruskan rawatan atau tidak kerana ada diantara ahli keluarga saya yang menyaran saya supaya berubat secara tradisional sahaja. Namun saya bertegas tidak mahu berubat secara tradisional. Saya kehilangan adik perempuan saya beberapa tahun lepas kerana beliau memilih untuk pergi ke perubatan alternatif dan bukan doktor. Sukarelawan EMPOWERED melayan saya seperti keluarga sendiri. Mereka menyampaikan berita buruk mengenai keputusan kesihatan saya dengan cara yang sangat berhemah dan lembut bagi mengurangkan rasa terkejut dan kegusaran saya. Mereka sentiasa ada semasa kunjungan saya ke hospital malah pada setiap rawatan susulan.” Sejak disahkan menghidap kanser, En. Abdul Wahab telah menjalani rawatan kuratif dan rawatan susulan penyembuhan di Hospital Selayang pada Julai tahun lepas.

Mr. Tan Chu Tea, benefisiari dan pesakit kanser Kempen Kanser Usus Besar EMPOWERED tahun 2011, telah bersama EMPOWERED sebagai suara yang memperjuangkan pengesanan awal kanser usus besar melalui saringan yang betul. Beliau berkongsi, “Saya mahu menolong orang lain dengan memberitahu mereka bahawa seperti saya mereka juga mampu memperolehi peluang kedua dalam hidup jika mereka mengambil keputusan untuk pergi ke saringan kanser usus besar dan menerima rawatan yang betul. Saya sangat bersyukur yang saya sudah sihat kembali dan mahu semua rakyat Malaysia juga bebas kanser.”

Dr. Christina Ng berkongsi kisah mengapa beliau terlibat dalam profesion yang membantu komuniti rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan ini. “Dalam konteks kenaikan kos perubatan di Malaysia, menjadi satu kepuasan yang mendalam kepada Persatuan untuk membawa projek yang mampu menyelamatkan nyawa ramai orang ini kepada segmen komuniti rakyat Malaysia yang paling layak untuk menerimanya. Kami sangat terhutang budi dengan rakan usaha sama yang turut berkongsi minat dan komitmen dalam melawan kanser membunuh yang paling kerap berlaku di Negara ini.

Images of EMPOWERED’s Colorectal Cancer Awareness Day & Launch Event 2015

Main Sponsor

  • BERJAYA CARES FOUNDATION

With the Co-operation of :

  • AN-NAJJAH MALAYSIA
  • MAJLIS KEBAJIKAN DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT KEBANGSAAN MALAYSIA (MAKPEM)

List of Collaborators :

  • DEWAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
  • HOSPITAL SELAYANG
  • INTERNATIONAL MEDICAL UNIVERSITY
  • KLINIK KESIHATAN KAMPUNG PANDAN, JKWPKL&P
  • ST. JOHN AMBULANCE OF MALAYSIA, WILAYAH PERSEKUTUAN
  • SUNWAY MEDICAL CENTRE SDN. BHD.
  • WQ PARK HEALTH & REHABILITATION CENTRE

List of Other Sponsors :

  • IREKA CORPORATION BHD.
  • KYOWA HAKKO KIRIN
  • MERCK SDN. BHD.
  • MUTUAL CONTRACT SDN. BHD.
  • POH KONG HOLDINGS BHD.
  • RADIANT SEAS SDN. BHD.
  • ROCHE (MALAYSIA) SDN. BHD.
  • RUMAH AMAL CHESHIRE SELANGOR
  • SANOFI- AVENTIS (MALAYSIA) SDN. BHD.