Because living is fighting, we are your friend, always there all the time.

The Cancer Advocacy Society of Malaysia launches its 6th annual Colorectal Cancer Awareness, Screening and Treatment Project

3rd April 2016

10,000 lagi rakyat Malaysia kurang bernasib baik diperkasakan dalam perjuangan memerangi kanser kolorektal.

EMPOWERED – Persatuan Advokasi Kanser Malaysia melancarkan Projek Tahunan EMPOWERED ke-6 – Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Usus Besar pada 3hb April 2016. Antara objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kanser kolorektal, serta menyelamatkan nyawa melalui saringan awal, terutamanya komuniti serba kekurangan. Kanser kolorektal merupakan kanser yang paling lazim dalam kalangan kaum lelaki, dan kedua lazim dalam kalangan kaum wanita Malaysia.

EMPOWERED amat berbesar hati mendapat sokongan padu daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam pelaksanaan Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Usus Besar (CCASTP) pada tahun ini. Y.B. Datuk Seri Dr. Hilmi bin Haji Yahaya, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merasmikan pelancaran projek ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur pada 03hb April, 2016. Presiden, Pengasas EMPOWERED yang juga merupakan seorang pakar perunding onkologi perubatan, Dr. Christina Ng Van Tze memahami bahawa isu-isu pokok dalam menjalankan saringan kanser kolorektal di Malaysia merangkumi tahap kesedaran yang rendah tentang penyakit serta ujian saringan untuk penyakit ini, serta taboo terhadap kanser secara amnya dalam kalangan rakyat Malaysia, khasnya komuniti yang hidup dalam keadaan serba kekurangan. Inilah yang menjadi inspirasi dan pendorong utama untuk Dr. Ng mengasaskan EMPOWERED pada tahun 2009.

Kajian menunjukkan bahawa literasi terhadap kesihatan yang rendah, tahap pendidikan serta perbezaan bahasa komunikasi mempengaruhi kebolehan individu untuk memahami sistem perubatan sedia ada, ujian-ujian saringan serta pilihan rawatan untuk penyakit, dan juga komunikasi antara individu dengan pakar perubatan. Oleh sebab itu, Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Usus Besar ini dibentuk dan sentiasa diubah suai oleh EMPOWERED untuk memastikan sistem saringan kanser kolorektal yang dijalankan benar-benar memberikan impak, dan seterusnya sebuah pelan rawatan yang berkesan dapatdilaksanakan untuk residen-residen komuniti sasaran EMPOWERED yang menghadapi penyakit ini. Sejak 6 tahun lalu, projek ini telah mencapai kira-kira 75,000 rakyat Malaysia yang tinggal di komuniti serba kekurangan. Setiap tahun, projek ini berjaya meningkatkan kesedaran komuniti terhadap kanser kolorektal serta meningkatkan kualiti kehidupan mereka melalui saringan awal untuk kanser kolorektal.

Tahun ini, dengan kolaborasi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia, EMPOWERED menyasarkan penyertaan seramai 10,000 daripada kalangan residen-residen PPR Desa Tun Razak. Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Hilmi bin Haji Yahaya berkata, “Pelaksanaan Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Usus Besar EMPOWERED adalah selaras dengan visi dan misi Kementerian Kesihatan, iaitu mengenali keperluan sesebuah komuniti agar rakyat dapat memfokuskan penjagaan kesihatan, menghargai kesihatan sebagai sebuah asetyang tidak ternilai, serta mengambil langkah-langkah positif untuk menambah baik lagi status kesihatan mereka.

“Kolaborasi antara Kementerian Kesihatan dan EMPOWERED adalah contoh bagaimana sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh bekerjasama untuk merealisasikan agenda kerajaan, iaitu melahirkan komuniti Malaysia yang lebih sihat,” kata Dr. Ng. Beliau bertambah bahawa EMPOWERED berhasrat dan amat komited dalam meningkatkan lagi kesedaran rakyat Malaysia terhadap pengesanan awal kanser kolorektal melalui ujian saringan dan rawatan yang bersesuaian.

“Saya percaya bahawa kesedaran terhadap kanser kolorektal masih berada pada tahap yang rendah, terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah. Sememangnya Yayasan Sime Darby amat menekankan kepentingan kesihatan komuniti. Pada tahun 2014, Yayasan Sime Darby telah menyumbangkan sebanyak RM 135,000 kepada Projek Kesedaran, Saringan dan Rawatan Kanser Kolorektal EMPOWERED 2014. Saya berharap agar lebih banyak organisasi akan menampil dan melibatkan diri dalam perjuangan menentang kanser, dengan memberi sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedia ada. Untuk memanfaatkan lebih ramai rakyat Malaysia, kita memerlukan lebih banyak lagi sokongan daripada pelbagai pihak,” kata Ybhg. Datin Paduka Zaitoon Dato’ Othman, Ahli Majlis Tertinggi Yayasan Sime Darby, yang juga merupakan rakan strategik CCASTP 2016 EMPOWERED.

Selepas perasmian pelancaran Projek CCASTP 2016 EMPOWERED, Bengkel Kesedaran Kanser Kolorektal diadakan dengan segera untuk komuniti di PPR Desa Tun Razak. Bengkel ini khas disesuaikan untuk residen tempatan, serta dijalankan oleh pakar-pakar kesihatan serta sukarelawan pelajar perubatan dalam bahasa tempatan. Sempena bengkel ini, bekas pesakit kanser kolorektal yang juga merupakan benefisiari EMPOWERED akan berkongsi bersama tentang perjuangan mereka dalam memerangi kanser kolorektal. Usaha dan perkongsian mereka adalah sebahagian daripada pendekatan holistik EMPOWERED untuk meredakan kebimbangan dan mengubah persepsi negatif masyarakat mengenai penyakit ini.

Dr. Ng berkongsi, “Sebaik sahaja seseorang itu didiagnos dengan kanser, mereka ditimpa dengan emosi ketakutan serta ketidakpastian terhadap masa depan mereka, terutama sekali apabila mereka juga merupakan pencari rezeki untuk keluarga mereka. Dalam EMPOWERED, kita tidak mengelakkan diri daripada isu ini, malah kita sedia menghadapi isu ini bersama mereka, memberi sokongan emosi serta pelan yang bersesuaian untuk mendapatkan rawatan perubatan yang optimal.”

Encik Tan Chu Tea, benefisiari projek EMPOWERED pada tahun 2011, merupakan salah seorang bekas pesakit yang kini amat menyokong pengesanan awal kanser kolorektal. Beliau berkata, “Saya terhutang budi kepada EMPOWERED. Tanpa EMPOWERED saya tidak akan tahu bahawa saya menghidapi kanser kolorektal tahap kedua. Saya ingin membantu orang lain dengan memberitahu mereka, seperti saya mereka juga mempunyai peluang kedua untuk hidup, sekiranya mereka sudi menjalankan saringan secara proaktif dan mendapatkan rawatan kanser yang bersesuaian”.

Seorang lagi benefisiari EMPOWERED, Puan Yeoh Wei Ling, didiagnos dengan polip-polip pra-kanser melalui projek EMPOWERED pada tahun 2014. Beliau masih ingat dengan jelas: “Saya ditimpa kekecewaan dan berasa amat terdesak apabila menerima keputusan bahawa najis saya berdarah. Saya begitu takut, kerana saya ingat saya akan mati.” Beliau meneruskan lagi, “Tapi, syukur kepada EMPOWERED, sukarelawan mereka sudi berduduk sebelah saya dan menunggu bersama-sama saya berjam-jam dalam proses di dalam hospital, menjelaskan perkataan-perkataan perubatan teknikal yang saya tidak faham, serta mendapatkan informasi lengkap berkenaan kanser kolorektal secara menyeluruh. Malah, semua ini dan saya tidak perlu membayar satu sen pun!” Dr. Ng amat bersyukur terhadap sokongan berterusan yang diberikan oleh individu serta pertubuhan kepada EMPOWERED. “Kami terhutang budi kepada rakan-rakan kami yang telah memberi kepercayaan, sokongan padu serta komitmen kepada kami untuk memerangi pembunuh kanser utama di negara kita, dan adalah harapan saya bahawa lebih akan terus bekerjasama dengan kami dalam perjalanan yang penuh bermakna ini.” Beliau turut mendorong pertubuhan korporat untuk menyertai dan menjadi rakan EMPOWERED, serta menyatakan penghargaan kepada penaja korporat untuk sokongan mereka.

Untuk pihak yang berminat dalam menyumbang kepada misi EMPOWERED, sila e-mel kepada: officeadmin@empowered.org.my

Untuk maklumat selanjutnya tentang EMPOWERED, sila melayari www.empowered.org.my atau https://www.facebook.com/EmpoweredMY

Images of The Cancer Advocacy Society of Malaysia launches its 6th annual Colorectal Cancer Awareness, Screening and Treatment Project